Saturday, March 24, 2012

Geran Tanah dan Tubuh Kita

Setelah menunggu lebih 16 tahun, akhirnya hasrat untuk memiliki tanah tapak rumah yang sah dimakbulkan oleh Allah SWT.  Mana tidak, sejak tanah ini dimiliki  melalui pembelian dari seorang kenalan pada 1996 dengan kebenaran  ‘Lesen Menduduki  Sementara (TOL)’ --  kini pada tahun 2012 telah menerima surat pengesahan ‘Geran Hak Milik Tanah’.  Sejak  1996 kami telah berusaha memohon,  kadangkala  merisaukan juga sama ada tanah ini akan menjadi milik kami. 

Geran Tanah yang ditunggu selama 16 tahun
diterima pada 10 Mac 2012
Walaupun janji demi janji diberikan bahawa  tanah  kawsan  kediaman kami tidak akan diambil oleh Kerajaan, tapi apalah ada pada janji, kerana manusia itu bersifat  baharu, boleh berubah-ubah.  Pagi cakap lain-petang ada keputusan lain pula.   Bulan ni kata tak ambil, tetiba bulan depan bagi  tau ada projek besar nak dilaksanakan.  Tentulah kami terpaksa berundur dari kediaman sekarang, mencari tapak kediaman baru…

Alhamdulillah.. kerana telah ditentukan oleh Allah SWT  tanah itu menjadi milik kami, maka tiada siapa dapat  menghalang.  Maka  pada 10 Mac 2012 lalu  dalam satu majlis perkampungan kami,  penyerahan  “Geran Hak Milik Tanah”  yang mengesahkan  pemilikan tanah kami telah diadakan .  

Memiliki  tanah, samaada untuk tapak rumah kediaman atau untuk lain-lain tujuan memang menjadi idaman setiap orang. Kerana ianya menjadi aset  yang  boleh diguna untuk membaiki kehidupan kita dan keluarga.

Ketika melihat geran yang diterima, hati terasa amat gembira.  Sebanyak kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana memberkati doa kami sekeluarga  sepanjang 16 tahun lalu.  Hakikatnya hanya Dia yang  berkuasa memberi.   Manusia hanyalah wadah.  Manusia hanya berusaha.  Manusia walau seberapa tinggi pangkat dan besar kuasanya tetap dibawah kuasa Allah.  Manusia  tidak mempunyai apa-apa kuasa.  Jangalah ada yang mendakwa bahawa dia yang berkuasa memberi  tanah ini kepada kami.

Plan Lot Kediaman yang diluluskan Mac 2012
Mata terus menatap sekeping kertas yang takrifkan sebagai ‘Geran Tanah’.  Rasa gembira dan syukur tetap berpanjangan.   Kerana hati berasa sangat tenang dan selamat berbanding  sebelum  menerima  Geran.  Aku sendiri tidak menduga akan  memiliki tanah dan rumah di perkampungan ini.   Kalau mengikut perancangan , setelah bersara  aku akan balik ke kampong  di Kg. Lasah, Sg. Siput (U) Perak.  Sebelum bersara  aku telah membeli  sebidang  tanah untuk membangunkan rumah. Tetapi kehendak Allah, akhirnya  aku menetap di Perkampungan Kg Melayu Sri Kundang, Sg. Buluh. Tanah di Kg Lasah kini ditanam dengan kelapa sawit.  Inssa Allah hasilnya boleh dituai tidak lama lagi.

Namun perasaan gembira memilik tanah ini tidak berterusan.   Hati mula  berdetik dengan pelbagai perasaan.  Kerana kini aku mula memikirkan  apakah tanah yang ku miliki ini boleh memberi  manfaat  kepada aku sekeluarga – semasa  hidup dan juga selepas  aku mati menemui Nya.

Jika diteliti hubungan  manusia  dengan tanah adalah terlalu rapat.  Manusia itu sendiri asalnya dari tanah.   Allah SWT menjadikan  Nabi Adam AS  dari tanah.   FirmanNya :  


"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk". (QS. Al Hijr (15) : 26)

Disamping itu Allah juga menjelaskan secara terperinci  tentang penciptaan manusia pertama itu dalah surat Al Hijr ayat 28 dan 29 .

Di dalam sebuah Hadits Rasulullah saw bersabda :

"Sesunguhnya manusia itu berasal dari Adam dan Adam itu (diciptakan) dari tanah". (HR. Bukhari)

Jadi kita telah memiliki tanah jauh lebil awal dari yang kita miliki hari ini.  Tanah yang kita miliki itu pemberian  Allah SWT secara percuma.  Tidak  ada ‘Geran’ dan tidak pula dikenakan  apa-apa bayaran.   Allah memberikanya secara percuma.  Malah fungsi tanah yang dianugerahkan oleh Allah itu jauh lebih besar manfaatnya berbanding  tanah  yang  kita  miliki’.   Bayangkan apa yang terjadi kepada tanah berhektar yang kita miliki, beli ataupun warisi  sekiranya  tanah  yang membaluti  tulang-belulang  kita ( tubuh kita)  dihentikan fungsinya  oleh Allah. Tangan  yang patah atau kudung; kaki yang lumpuh;  kulit yang berpenyakit  kronik dan pelbagai masalah  yang penyakit pada tubuh.   Bolehkah tanah yang berhektar itu menggantikan tubuh  yang  berasal dari  tanah pemberian Allah itu.  Subhanallah…

Ya Allah, berikanlah  hidayah mu supaya kami sekeluarga tidak  ujub diri dengan kejayaan memiliki  secebis dari tanah mu ini.  Amin.  

No comments:

Post a Comment